Friday, October 19, 2012

Kemahiran dalam Permainan Ping Pong


Kemahiran dalam Permainan Pingpong

Kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai dalam permainan pingpong ialah grip atau cara memegang bet, melakukan servis, pukulan dan smesy.

A) Grip (Memegang Bet)
Terdapat 2 jenis grip yang selalu digunakan, iaitu: grip jabat tangan dan grip pegang pen. Setiap jenis grip mempunyai kelebihan yang tersendiri dan terpulang kepada keselesaan pemain untuk menggunakannya.

   I.   Teknik Grip Jabat Tangan
  •        Kelima-lima jari menggenggam pemegang seperti berjabat tangan
  •        Ibu jari dan telunjuk berada di bahagian permukaan bet yang berlainan
  •    Jari tengah, jari manis dan jari kelengkeng menggenggam sepenuhnya    pemegang bet
  •     Jari telunjuk lurus dan ibu jari dibengkokkan sedikit
  •     Pegang bet dalam keadaan yang selesa.

Gambar: Teknik  Grip Jabat Tangan
   II.   Teknik Grip Pegang Pen
  •        Jari telunjuk dan ibu jari menggenggam pemegang seperti memegang pen
  •     Jari-jari lain dibengkokkan di bahagian belakang bet
  •     Pegang bet dalam keadaan selesa.
Gambar: Teknik Grip Pegang Pen


B) Servis
    Permainan pingpong dimulakan dengan melakukan servis. Servis boleh dilakukan dengan pukulan hadapan atau pukulan kilas.

I.   Teknik melakukan servis pukulan hadapan
  •    Kedudukan bersedia.
  •    Letakkan bola di atas tapak tangan dengan jari-jari diluruskan.
  •       Kilaskan badan dan ayunkan tangan ke belakang.
  •    Pindahkan berat badan ke kaki kanan (jika bola di tangan kiri)
  •    Lambung bola.
  •    Kilaskan badan serentak dengan ayunan tangan.
  •    Pukul bola sebaik sahaja bola jatuh.
  •       Pindahkan berat badan ke kaki kiri.




II.  Teknik melakukan servis pukulan kilas
  •       Kedudukan bersedia.
  •       Letakkan bola di atas tapak tangan dengan jari-jari diluruskan.
  •       Bawa bet menyilang badan.
  •       Kilaskan badan.
  •      Pindahkan berat badan ke kaki kiri.
  •      Lambung bola.
  •       Kilaskan badan serentak dengan ayunan tangan ke hadapan.
  •      Pukul bola sebaik sahaja bola jatuh.
  •       Pindahkan berat badan ke kaki hadapan.

C) Pukulan
Terdapat dua jenis pukulan asas dalam permainan pingpong, iaitu pukulan
hadapan dan pukulan kilas. Kekuatan pukulan bergantung pada kilasan badan,
ayunan lengan dan pergerakan pergelangan tangan.

I.   Teknik melakukan pukulan hadapan
  •       Kilaskan badan dan ayunkan tangan ke belakang.
  •       Pindahkan berat badan ke kaki belakang.
  •       Pandang bola dan bawa bet rapat ke badan.
  •       Kilaskan badan bersama ayunan tangan ke hadapan.
  •       Pada kedudukan bola yang sesuai, pukul bola yang melantun dari meja.
  •       Pindahkan semula berat badan pada kaki hadapan.
       II.  Teknik melakukan pukulan kilas
  •       Bawa bet menyilang ke sisi badan
  •       Kilaskan badan dan pindahkan berat ke kaki belakang.
  •       Mata memandang bola.
  •       Balas kilas badan serentak dengan ayunan tangan ke hadapan.
  •    Pada kedudukan bola yang sesuai, pukul bola yang telah melantun dari   meja.
  •      Pindahkan semula berat badan ke kaki hadapan.


      


Peralatan Permainan Ping Pong


Peralatan Permainan Ping Pong

Meja Ping Pong
  • -      Mestilah berbentuk segi empat tepat dan mempunyai ukuran seperti di bawah:
  •     Panjang = 274 cm
  •     Lebar = 152.5 cm
  •     Ketinggian jaring = 15.25 cm
  •     Tinggi permukaan permainan dari lantai = 76 cm


Gambar: Meja Ping Pong

Raket
  • Boleh sebarang saiz, bentuk/berat
  • Raket mesti dilapik getah pada permukaan yang digunakan untuk memukul bola.
  • Permukaan raket yang tidak dilapik getah tidak boleh digunakan untuk memukul bola.
  • Permukaan raket yang tidak digunakan mestilah berwarna hitam atau merah, bergantung pada warna getah di permukaan sebelahnya.

Getah Pada Raket Ping Pong

  • Permukaan getah hendaklah rata dan tidak boleh berlubang ataupun kembung.
  • Getah yang digunakan mesti mempunyai logo Persatuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF).




Bola Ping Pong

  • Bola mempunyai diameter 40mm.
  • Berwarna putih atau oren boleh digunakan dalam permainan.









Sejarah Perkembangan Ping Pong


Ping Pong

Sejarah Perkembangan Ping Pong

Sukan Pingpong menjadi popular dalam tahun 1920-an dan terdapat banyak kelab ditubuhkan di seluruh dunia. Pada tahun 1926, Persekutuan Tenis Meja Antarabangsa (International Table Tennis Federation, ITTF) telah ditubuhkan, manakala, Persatuan Tenis Meja Amerika Syarikat telah ditubuhkan pada 1933. Sementara itu, di Malaysia, permainan ping pong semakin berkembang dengan tertubuhnya Persatuan Pingpong Malaya pada tahun 1958 dan kini dikenali sebagai Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) bermula pada tahun 1964.

Istilah “ping pong” diambil bersempena dengan bunyi “ping” yang dihasilkan apabila bertembung dengan raket dan “pong” apabila bola melantun di atas meja. Peralatan permainan Pingpong telah mengalami banyak perubahan pada tahun 1940-an. Pada mulanya, permukaan raket di lapik getah berbintik nipis (pimpled rubber). Kemudian, negara Jepun telah memperkenalkan “sandwich rubber” yang mempunyai lapisan span di bawah lapisan getah bintik yang bintik nya menghadap span (inverted sponged). Ciptaan ini menghasilkan putaran bola yang jauh lebih kuat berbanding dengan getah berbintik. Malah, ciptaan ini menyebabkan pemain-pemain Jepun dapat menggunakan  gaya pegang cekak pen (pen holder) dan sekali gus menguasai dunia ping pong pada tahun 1950-an.

Sejarah perkembangan ping pong mengalami banyak perubahan dari segi corak permainan sehingga kepada penggunaan peralatan. Pada tahun 1960-an, corak permainan ping pong berbentuk defensif. Malah, peraturan-peraturan juga sering dikaji dari semasa ke semasa. Pada tahun 1985, satu peraturan baru diperkenalkan iaitu mengenai penggunaan getah pada raket. Getah raket di kedua-dua belah perlu menggunakan warna yang berbeza, iaitu jika sebelah raket berwarna hitam, permukaan yang sebelah wajib berwarna merah. Ini bertujuan mengurangkan kekeliruan apabila pemain menggunakan raket “yin-yan”.       (raket “yin-yan” adalah raket yang sebelahnya menggunakan getah biasa manakala yang sebelah menggunakan getah jenis long-pimple).

Untuk menjadikan sukan pingpong lebih menarik, pada tahun 2000, Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) telah menambah diameter bola ping pong daripada 38mm kepada 40mm. Malah, sistem mata setiap permainan diubah dari 21 mata kepada 11 mata dan setiap pertandingan ditentukan dalam Best of 5 Games atau Best of 7 games pada tahun 2001.

Pada masa kini, kemuncak daripada perkembangan ini ialah pengiktirafan yang diberikan kepada sukan ini sebagai salah satu acara Sukan Olimpik, iaitu acara perseorangan dan beregu mula dipertandingkan buat pertama kalinya dalam Sukan Olimpik di Seoul, Korea pada tahun 1988.