Friday, October 19, 2012

Sejarah Perkembangan Ping Pong


Ping Pong

Sejarah Perkembangan Ping Pong

Sukan Pingpong menjadi popular dalam tahun 1920-an dan terdapat banyak kelab ditubuhkan di seluruh dunia. Pada tahun 1926, Persekutuan Tenis Meja Antarabangsa (International Table Tennis Federation, ITTF) telah ditubuhkan, manakala, Persatuan Tenis Meja Amerika Syarikat telah ditubuhkan pada 1933. Sementara itu, di Malaysia, permainan ping pong semakin berkembang dengan tertubuhnya Persatuan Pingpong Malaya pada tahun 1958 dan kini dikenali sebagai Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) bermula pada tahun 1964.

Istilah “ping pong” diambil bersempena dengan bunyi “ping” yang dihasilkan apabila bertembung dengan raket dan “pong” apabila bola melantun di atas meja. Peralatan permainan Pingpong telah mengalami banyak perubahan pada tahun 1940-an. Pada mulanya, permukaan raket di lapik getah berbintik nipis (pimpled rubber). Kemudian, negara Jepun telah memperkenalkan “sandwich rubber” yang mempunyai lapisan span di bawah lapisan getah bintik yang bintik nya menghadap span (inverted sponged). Ciptaan ini menghasilkan putaran bola yang jauh lebih kuat berbanding dengan getah berbintik. Malah, ciptaan ini menyebabkan pemain-pemain Jepun dapat menggunakan  gaya pegang cekak pen (pen holder) dan sekali gus menguasai dunia ping pong pada tahun 1950-an.

Sejarah perkembangan ping pong mengalami banyak perubahan dari segi corak permainan sehingga kepada penggunaan peralatan. Pada tahun 1960-an, corak permainan ping pong berbentuk defensif. Malah, peraturan-peraturan juga sering dikaji dari semasa ke semasa. Pada tahun 1985, satu peraturan baru diperkenalkan iaitu mengenai penggunaan getah pada raket. Getah raket di kedua-dua belah perlu menggunakan warna yang berbeza, iaitu jika sebelah raket berwarna hitam, permukaan yang sebelah wajib berwarna merah. Ini bertujuan mengurangkan kekeliruan apabila pemain menggunakan raket “yin-yan”.       (raket “yin-yan” adalah raket yang sebelahnya menggunakan getah biasa manakala yang sebelah menggunakan getah jenis long-pimple).

Untuk menjadikan sukan pingpong lebih menarik, pada tahun 2000, Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) telah menambah diameter bola ping pong daripada 38mm kepada 40mm. Malah, sistem mata setiap permainan diubah dari 21 mata kepada 11 mata dan setiap pertandingan ditentukan dalam Best of 5 Games atau Best of 7 games pada tahun 2001.

Pada masa kini, kemuncak daripada perkembangan ini ialah pengiktirafan yang diberikan kepada sukan ini sebagai salah satu acara Sukan Olimpik, iaitu acara perseorangan dan beregu mula dipertandingkan buat pertama kalinya dalam Sukan Olimpik di Seoul, Korea pada tahun 1988.


No comments:

Post a Comment